Tuesday 9 July 2013

Tengku Zaihan Calon BN Prk Kuala Besut N-01

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Korporat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, 37, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Dataran Kuala Besut, sebentar tadi dan disambut sorakan kira-kira 3,000 penyokong BN yang hadir.
Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh dan para pemimpin parti komponen.
Dalam ucapannya, Muhyiddin yakin Tengku Zaihan adalah taruhan terbaik BN untuk pengundi di DUN Kuala Besut berdasarkan pengalaman luas beliau dalam jabatan kerajaan dan boleh diterima rakyat khususnya golongan muda.
Tegas beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, pemilihan Tengku Zaihan dibuat selepas melalui proses pemilihan yang ketat apabila disaring berkali-kali oleh pucuk pimpinan parti.
“Saya yakin ini adalah calon terbaik. Memang kita janjikan kepada pengundi bahawa kita akan letak calon terbaik. Calon yang diterima oleh semua,” ujar beliau.
Tengku Zaihan ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak yang memilih beliau sebagai calon pilihan raya berkenaan yang disifatkannya sebagai ‘pilihan raya kecil yang besar’.

Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjanji akan membela nasib rakyat dan berkhidmat dengan penuh dedikasi jika dipilih sebagai wakil rakyat DUN tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera dan penyokong BN kerana memberi sokongan kepada saya demi rakyat Kuala Besut,” katanya yang juga ahli UMNO Cawangan Seri Seratus.
Tengku Zaihan sebenarnya telah banyak memainkan peranan membantu masyarakat kawasan berkenaan ketika berkhidmat sebagai Jurutera Daerah JPS Besut.
SUMBER terengganutoday.com/

No comments:

Post a Comment