Thursday 30 May 2013

‘Anwar Spring’ Sesuai Dengan Matlamat Himpunan Pembangkang

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Perhimpunan haram yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang atas alasan untuk membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah agenda peribadi ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang selayaknya menerima gelaran ‘Anwar Spring’, kata penganalisis politik tempatan, Prof Dr. Ahmad Atory Hussein.

Semalam, Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan siri perhimpunan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang dilabel sebagai Anwar Spring dan bukannya Malaysia Spring seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Anwar Sping amat tepat dengan apa yang dilakukan kerana perhimpunan terbabit mempunyai matlamat untuk agenda peribadi Anwar yang sememangnya mengidamkan jawatan Perdana Menteri negara ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujarnya, jika dilihat dari keputusan PRU-13 lalu, Anwar tidak kalah kerana beliau yang bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dapat mengekalkan kemenangannya, begitu juga dengan anaknya, Nurul Izzah di Lembah Pantai.



“Pembangkang termasuk Anwar mempertikaikan keputusan PRU-13 sedangkan dalam masa yang sama mereka masih dapat mengekalkan tiga negeri tadbiran mereka dan pemimpin mereka menang di kawasan bertanding namun malangnya mereka tidak memperolehi bilangan kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan dan mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Apabila BN dapat menguasai kerajaan maka tentulah Anwar Spring dimulakan kerana impiannya adalah untuk menjadi Perdana Menteri sekalipun melalui huru-hara dan kekacauan,” katanya.

Ujarnya, tindakan pembangkang ini seakan memperbodohkan para pengundi dan penyokong mereka dengan menghasut untuk memberontak dan melakukan keganasan tetapi ia gagal mencapai matlamat.

“Apabila mereka memilih demonstrasi dan himpunan untuk membantah keputusan PRU-13 maka secara tidak langsung bahawa mereka telah terkeluar dari prinsip asas demokrasi iaitu menerima keputusan yang dilakukan dalam pilihan raya. Yang kalah, kalahlah dan yang menang akan memerintah.”

Ujanya yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), Anwar cuba mempengaruhi rakyat melalui pelbagai insiden yang berlaku di Timur Tengah tetapi tindakan yang menggunakan kekerasan dengan hanya terjerit-jerit tidak akan dapat membawa apa-apa manfaat.

“Pembangkang sengaja mewujudkan isu untuk dijadikan alasan bagi membangkitkan kemarahan sebagaimana tuduhan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penipuan dan penyelewengan sedangkan mana-mana individu yang berfikiran rasional akan menerima keputusan PRU-13 setelah melalui pelbagai proses,” katanya.

Jelasnya, dengan lebih 700 kerusi membabitkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), SPR telah menyediakan petugas seramai lebih 200,000 yang diberi kursus dan latihan agar semua proses sepanjang PRU-13 lancar.

“Apa juga tuduhan kepada SPR adalah untuk mengalihkan tumpuan kepada kemenangan BN/UMNO dalam PRU-13 kerana sememangnya BN/UMNO tetap relevan selagi mana parti ini berpegang kepada asas dan tujuan penubuhannya iaitu demi agama, bangsa dan negara,” tambahnya lagi.

Pada PRU-13 yang berlangsung 5 Mei lalu, pembangkang hanya menang 89 kerusi Parlimen berbanding BN 133 kerusi untuk kekal sebagai teraju kerajaan Malaysia. – MediaUMNO

No comments:

Post a Comment